Sunday, December 19, 2010

Inovasi Kaedah Ternakan Ikan Kerapu Harimau

INOVASI: 
TERNAKAN IKAN KERAPU HARIMAU DI DALAM KOLAM MENGGUNAKAN SISTEM SANGKAR TERAPUNG.

AGENSI: FRI PULAU SAYAK.

INOVASI YANG DILAKSANAKAN
Ternakan ikan kerapu harimau (Epinephelus fuscoguttatus) di dalam kolam menggunakan sistem sangkar telah dicuba di Pusat Demonstrasi Ternakan Air Payau (PDTAP) Ban Merbok, Bedong, Kedah daripada Mei 2009 hingga Ogos 2010. Kejayaan kaedah ternakan ini akan memberikan impak yang berkesan kepada industri akuakultur ikan marin. Kaedah ternakan ini dapat menghasilkan ikan marin bernilai tinggi untuk tujuan pasaran eksport ke Hong Kong dan ROC. Kaedah ini juga dapat mempelbagaikan penggunaan kolam dan seterusnya dapat membantu mengurangi masaalah kolam terbiar yang diakibatkan oleh wabak penyakit virus yang sedang dihadapi oleh industri ternakan udang. Ikan kerapu hariamau  yang dihasilkan dari gabungan dua sistem ternakan ini tidak mengalami masaalah bau lumpur (off flavour) seperti yang sering dialami oleh ikan yang dihasilkan dari ternakan dalam kolam.  Kaedah ternakan ini juga akan memberi beberapa kelebihan seperti kadar tumbesaran yang lebih cepat serta peratus hidup yang lebih tinggi. Mutu air media ternakan kurang terdedah kepada perubahan fizikal dan kimia air laut  dan dapat di urus mengikut mutu air yang sesuai untuk tujuan ternakan. Melalui kaedah ini, risiko kehilangan ikan akibat kematian yang berpunca dari pencemaran air, jangkitan penyakit, perubahan kualiti air secara mendadak dan kehilangan akibat pukat bocor dan kerosakan sangkar oleh faktur cuaca buruk dapat dikurangkan.


SEBELUM INOVASI
Ternakan ikan kerapu harimau dijalankan menggunakan sistem sangkar tradisional di kawasan-kawasan terlindung seperti muara-muara sungai, teluk dan sebagainya. Sistem sangkar yang menggunakan bahan kerangka kayu dan pelampung tong HDPE ini tidak dapat bertahan kepada ombak yang tinggi dan arus yang deras. Kawasan-kawasan yang terlindung ini seperti di muara-muara sungai sering terdedah kepada pengaruh air tawar yang akan menurunkan saliniti air laut. Penurunan saliniti secara mendadak akan menyebabkan kematian kepada ikan kerapu harimau.  Muara-muara sungai juga terdedah kepada pencemaran dari buangan perbandaran dan buangan sisa industri.  Keadaan yang tidak dapat dikawal ini menyebabkan kurang pengusaha menternak ikan kerapu harimau disebalik permintaan pasaran eksportnya  yang  amat tinggi. 

Sangkar Tradisional di laut
 


SELEPAS INOVASI
Selepas inovasi, pengeluaran ikan kerapu harimau yang merupakan komoditi eksport utama ikan marin dapat dibuat didalam sistem yang lebih terkawal dan kurang terdedah kepada risiko kematian akibat pencemaran dan perubahan kualiti air secara mendadak. Kaedah ternakan ini dapat memberikan kadar tumbesaran yang lebih cepat dan peratus hidup yang lebih tinggi. Ikan yang dihasilkan dengan kaedah ini tidak mengalami masaalah bau Lumpur (off flavour) seperti yang sering dialami jika ikan distok terus didalam kolam.  Ikan yang dihasilkan dari percubaan ini telah diuji rasa oleh pengedar ikan dari Hong Kong dan kesemua ikan (lebih dari 2 tm) yang dihasilkan di eksport ke Hong Kong. 

Sangkar di dalam kolam 
FAEDAH-FAEDAH DARI INOVASI YANG DIHASILKAN
Inovasi yang dilaksanakan telah berjaya memberikan faedah-faedah berikut :
a)                 Kreativiti
Inovasi ini diperkenalkan oleh FRI Pulau Sayak, Kedah dengan menggabungkan dua sistem ternakan iaitu sistem sangkar dan sistem kolam bagi menghasilkan satu kaedah pengeluaran ikan kerapu harimau yang lebih produktif dan terkawal serta menghasilkan ikan dengan kualiti yang boleh diterima oleh pasaran ikan hidup terbesar di Asia (Hong Kong dan ROC).

b)                 Tahap Perlaksanaan
Inovasi ini telah dilaksanakan secara percubaan bermula Mei 2009. Kaedah ini sedang diusahakan  oleh Syarikat Heng Siong Huat Enterprise, Tg. Dawai, Bedong, Kedah menggunakan kemudahan kolam di PDTAP, Ban Merbok. Syarikat telah membuat perolehan tapak sendiri untuk meneruskan kaedah ternakan ini. Penggunaan kaedah ternakan ini sedang diperluaskan kepada  peserta kursus, pelatih Latihan Industri, peserta Program Inkubator dan  pengusaha dan penternak disekitar Pusat.

c)                 Replicability
Inovasi ini boleh diguna pakai oleh semua usahawan yang ingin menjadikan pengeluaran ikan kerapu harimau sebagai perniagaan. Kaedah ternakan telah dibuat dalam skala sebenar dan tidak memerlukan pembuktian konsep (Proof of Concept) sebelum dikembangkan kepada pengusaha. Ikan yang dihasilkan juga telah terbukti diterima oleh pasaran Hong Kong melalui jualan yang telah dibuat.

d)                 Efisien
Melalui inovasi ini, pengeluaran ikan kerapu harimau dapat dibuat dalam keadaan yang lebih terkawal dan dengan produktiviti yang lebih tinggi. Oleh kerana tempoh ternakan ikan kerapu harimau adalah panjang (12 hingga 15 bulan), inovasi ini dapat mengurangkan risiko kehilangan ikan akibat pencemaran, pukat bocor, perubahan kualiti air yang mendadak, jangkitan penyakit dan sebagainya. Kualiti ikan yang dihasilkan melalui kaedah inovasi ini boleh diterima oleh pasaran. Pengurusan ternakan menjadi lebih mudah dan jimat kerana tidak memerlukan pengangkutan air (bot) untuk tujuan pengangkutan input  dan pekerja ke ladang dan pengeluaran hasil output dari ladang.

e)                 Signifikan
Inovasi ini dapat memberi impak yang besar terutama terhadap imbangan perdagangan Negara. Hampir kesemua ikan kerapu harimau yang dihasilkan adalah untuk tujuan eksport ke Hong Kong dan ROC.  Kaedah pengeluaran yang dihasilkan dari inovasi ini dapat meningkatkan pengeluaran ikan kerapu harimau Negara. Masaalah kolam udang terbiar yang menjadi isu besar industri akuakultur Negara dapat dikurangkan. Dengan sedikit pengubahsuaian, kolam kolam ini dapat digunakan untuk tujuan ternakan ikan kerapu harimau menggunakan inovasi ini.  Melalui petunjuk ekonomi dengan menggunakan maklumat yang dikumpul pada masa ini jelas menunjukkan ternakan kerapu harimau merupakan bidang perniagaan yang memberikan pulangan yang paling lumayan dalam industri akuakultur marin.

f)                   Komitmen Pengurusan Atasan
Inovasi kaedah ternakan ikan kerapu harimau yang dibangunkan di FRI Pulau Sayak ini telah mendapat perhatian dari pihak pengurusan Pusat dan Jabatan Perikanan Malaysia.  Ianya telah disenaraikan sebagai salah satu projek pengkomersialan hasil penyelidikan oleh Bahagian Akuakultur Marin, FRI Pulau Sayak. Bagi meningkatkan lagi prestasi dan memaksimumkan penggunaan inovasi ini, FRI Pualau Sayak telah memohon peruntukan dari Bahagian Pembangunan Akuakultur, Jabatan Perikanan Malaysia untuk membangunkan satu model dengan 50 unit sangkar sebagai tapak untuk program inkubator di Pusat Didikan Ternakan Air Payau, Ban Merbok, Kedah.  Sekurang kurangnya tiga usahawan telah bersedia untuk menjadi peserta program inkubator ini.

No comments:

Post a Comment