Tuesday, December 28, 2010

Inovasi Kaedah Pengangkutan Ikan Kerapu Hidup ke Hong Kong

INOVASI: KAEDAH PENGANGKUTAN IKAN KERAPU HIDUP MELALUI KAPAL TERBANG MENGGUNAKAN  BIN PENGANGKUT IKAN HIDUP (LSTB). 

AGENSI: FRI PULAU SAYAK.

INOVASI YANG DILAKSANAKAN
Pengangkutan ikan kerapu harimau (Epinephelus fuscoguttatus) hidup dari kolam Pusat Demonstrasi Ternakan Air Payau (PDTAP) Ban Merbok, Bedong, Kedah ke Cheung Sha Wan Wholesale Fish Market, Kowloon, Hong Kong menggunakan Bin Pengangkut Ikan Hidup (Bin LSTB) telah dibuat mulai Mei 2010 hingga Ogos 2010. Sekurang-kurangnya sepuluh penerbangan telah dibuat dalam tempoh tersebut. Peratus kematian semasa ketibaan adalah diantara 0 % hingga 1 %. Tempoh penghantaran (selepas penuaian hingga ketibaan) adalah antara 18 jam hingga 20 jam. Setiap Bin boleh diisi dengan 300 kg hingga 350 kg ikan kerapu harimau. Pengangkutan ikan kerapu harimau hidup ini merupakan yang pertama kali dibuat diantara Malaysia dan Hong Kong. Percubaan ini adalah hasil kerjasama strategik diantara FRI Pulau Sayak, Syarikat Heng Siong Huat (pengusaha ternakan ikan kerapu harimau tempatan), Wing Sang Trading Company (pengedar ikan kerapu di Kowloon, Hong Kong) dan Honika Trading Company, Hong Kong (pembekal Bin LSTB). Kejayaan kaedah pengangkutan ini akan memberikan impak yang berkesan kepada industri akuakultur ikan marin  dan imbangan dagangan Negara. Ikan kerapu harimau merupakan ikan marin bernilai tinggi untuk tujuan pasaran eksport ke Hong Kong dan ROC. Kaedah ini juga dapat mengatasi isu penghantaran ikan kerapu hidup ke Hong Kong menggunakan kapal laut (well boat) yang memerlukan kuantiti minima 15 tm hingga 30 tm dan tempoh pelayaran diantara 10 hingga 15 hari. Kos penghantaran melalui kapal terbang menggunakan Bin LSTB ini adalah kompetitif iaitu sekitar RM 4/kg hingga RM 5/kg.


SEBELUM INOVASI
Pengangkutan ikan kerapu hidup ke Hong Kong sebelum inovasi menggunakan kapal laut (well boat). Muatan minima bagi setiap bot adalah diantara 15 tm hingga 30 tm bergantung kepada saiz bot. Kuantiti ini perlu dituai dari sekitar 100 hingga 200  unit sangkar berukuran 3m x 3m. Kebanyakan pengusaha ternakan ikan di Negara ini beroperasi dalam sekala kecil dan sederhana dan mempunyai kurang dari 100 unit sangkar. Keadaan ini menjadi halangan kepada kebanyakan pengusaha ternakan ikan kerapu untuk memasarkan ikan hidup ke Hong Kong dan mendedahkan mereka kepada manipulasi harga oleh orang tengah. Tempoh pelayaran dari Malaysia ke Hong Kong memakan masa diantara 10 hingga 15 hari.  Peratus kematian semasa ketibaan dimaklumkan melebihi 10%. Kuantiti minima yang besar, tempoh pelayaran yang panjang dan risiko cuaca semasa pelayaran menjadi faktur penentu bilangan trip bot Hong Kong yang datang ke Negara ini untuk tujuan membeli ikan kerapu hidup.
Bot Mengangkut Ikan Hidup
                                    

SELEPAS INOVASI
Selepas inovasi, pengangkutan ikan kerapu hidup ke Hong Kong menggunakan Bin LSTB melalui kapal terbang menjadi lebih cepat dan kuantiti minima yang diperlukan adalah hanya 300 kg.  Pada masa ini bilangan penerbangan diantara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan KLIA ke Hong Kong adalah hampir setiap hari. Setakat ini Syarikat Cathay Pacific dan MAS telah bersetuju untuk mengangkut Bin LSTB ini. Kuantiti minima yang kecil, tempoh penerbangan yang singkat, bilangan penerbangan diantara Malaysia dan Hong Kong yang kerap dan peratus kematian yang rendah serta caj pengangkutan yang kompetitif menjadikan inovasi kaedah pengangkutan ini lebih menarik berbanding dengan pengangkutan melalui kapal laut.

Bin Pengangkutan Ikan Hidup
FAEDAH-FAEDAH DARI INOVASI YANG DIHASILKAN
Inovasi yang dilaksanakan telah berjaya memberikan faedah-faedah berikut :

a)                 Kreativiti
Inovasi ini diperkenalkan oleh FRI Pulau Sayak, Kedah dengan kerjasama  Syarikat Heng Siong Huat (pengusaha ternakan ikan kerapu harimau tempatan), Wing Sang Trading Company (pengedar ikan kerapu di Kowloon, Hong Kong) dan Honika Trading Company, Hong Kong (pembekal LSTB). Inovasi ini dibuat bagi mencari kaedah alternatif kepada pengangkutan menggunakan kapal laut  bagi  mengangkut ikan kerapu hidup dari Malaysia ke pasaran ikan hidup terbesar di Asia (Hong Kong dan ROC). Melalui inovasi ini akan memberi galakkan kepada pengeluaran ikan kerapu Negara dan seterusnya meningkatkan  imbangan dagangan Negara.

b)                 Tahap Perlaksanaan
Inovasi ini telah dilaksanakan secara percubaan bermula Mei 2010. Setakat ini sudah lebih dari 10 penghantaran telah dibuat. Ketiga-tiga Syarikat yang terlibat iaitu Syarikat Heng Siong Huat (pengusaha ternakan ikan kerapu harimau tempatan), Wing Sang Trading Company (pengedar ikan kerapu di Kowloon, Hong Kong) dan Honika Trading Company, Hong Kong (pembekal LSTB) telah bersetuju untuk membentuk syarikat khusus bagi mengendalikan urusan ini iaitu Syarikat WorldFair (HK) Limited dan WorldFair (Malaysia) Sdn Bhd. Selain dari ikan kerapu harimau yang dikeluarkan dari PDTAP Ban Merbok, Syarikat juga telah mula membeli ikan kerapu harimau dari pengusaha tempatan untuk di eksport ke Hong Kong.

c)                 Replicability
Bin LSTB ini telah digunapakai untuk tujuan pengangkutan ikan hidup yang ditangkap dari perairan semulajadi sejak beberapa tahun dahulu di beberapa Negara di Lautan Pasifik dan sebagainya. Inovasi ini mencuba penggunaannya kepada ikan kerapu harimau yang diternak di Negara ini dengan memebentuk kerjasama strategic tiga kumpulan utama iaitu penternak ikan kerapu tempatan, pemborong ikan  di Hong Kong dan pembekal Bin LSTB.  Beberapa proses penyuaian telah dilaksanakan khususnya pengurusan air sebelum pengangkutan bagi menjamin peratus kematian yang rendah semasa ketibaan.  Berdasarkan keputusan dari lebih sepuluh penerbangan yang dibuat, inovasi ini boleh digunapakai untuk tujuan ini dalam skala yang lebih besar.

d)                 Efisien
Melalui inovasi ini, pengangkutan ikan kerapu harimau dari Malaysia ke pasaran Hong Kong boleh dibuat hampir pada setiap hari dengan kuantiti minima 300 kg. Kaedah ini menghadapi risiko yang sangat kurang berbanding dengan kaedah kapal laut. Melalui inovasi kaedah ini dan kerjasama strategik diantara tiga kumpulan berkepentingan ini, maka ikan kerapu harimau keluaran pengusaha tempatan dapat memasuki pasaran Hong Kong dengan lebih kompetitif.

e)                 Signifikan
Inovasi ini dapat memberi impak yang besar terutama terhadap imbangan perdagangan Negara. Hampir kesemua ikan kerapu harimau yang dihasilkan di Negara ini adalah untuk tujuan eksport ke Hong Kong dan ROC.  Kaedah pengangkutan yang dihasilkan dan kerjasama strategik kumpulan berkepentingan dari inovasi ini dapat menjadi  pendorong bagi peningkatan ikan kerapu harimau Negara.

f)                   Komitmen Pengurusan Atasan
Inovasi kaedah pengangkutan ikan kerapu harimau yang dibuat telah di tunjukkan kepada pengurusan tertinggi Jabatan pada Hari Inovasi Bahagian Akuakultur Marin, FRI Pulau Sayak pada  4hb Julai 2010. Pihak pengurusan telah bersetuju untuk mempamirkan Bin LSTB ini kepada Menteri dan pada pamiran Hari Penternak dan Nelayan peringkat Kebangsaan.  Pihak Bahagian Pembangunan Akukultur, Ibu Pejabat  telah bersetuju untuk memperolehi beberapa unit Bin LSTB ini untuk tujuan pengangkutan ikan hidup dari Projek-projek Jabatan.

No comments:

Post a Comment